
SAUDARA PENGARANG
- Perbanyakkan bacaan al-Quran sepanjang Ramadan untuk meraih pahala besar setiap huruf.
- Tinggalkan perkara yang tidak berkaitan dengan diri seperti menatal media sosial dan mencari aib orang lain.
- Utamakan yang wajib dahulu kemudian amalan sunat untuk mendekatkan diri kepada Allah dan memperoleh keberkatan.
Rutin berpuasa seorang Muslim serta melaksanakan ibadah khusus lain dalam bulan Ramadan berjalan seiring dengan pelbagai peranan manusiawi seperti ibu, ayah, isteri, suami, anak, pelajar, pekerja, majikan dan seumpamanya.
Ramadan sudah pasti memberi ujiannya tersendiri dari sudut pengurusan masa kerana ia memperkenalkan rutin baharu kepada seorang Muslim. Pahala yang datang bersama solat malam, bersahur serta solat terawih turut membawa cabaran yang tidak kecil kerana tenaga manusia adalah terhad.
Oleh itu, pengurusan masa yang bijak dapat membantu seorang Muslim merebut peluang keberkatan sepanjang Ramadan. Berikut disarankan beberapa panduan bagi menjaga keberkatan masa sepanjang bulan Ramadan:
1. Memperbanyakkan bacaan al-Quran
Pahala membaca al-Quran sangat besar seperti yang disebut dalam hadis. Ibnu Mas’ud r.a. berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda:
“Barang siapa yang membaca satu huruf daripada kitab Allah, maka baginya satu kebaikan. Satu kebaikan itu dibalas dengan sepuluh kali ganda. Aku tidak mengatakan alif laam miim itu satu huruf, tetapi alif itu satu huruf, laam itu satu huruf dan miim itu satu huruf.” (Sunan al-Tirmidhi, no. 2910)
Hadis di atas menunjukkan pahala yang besar bagi setiap huruf al-Quran yang dibaca. Hal ini bermakna jika setiap Muslim tekun membaca al-Quran sepanjang Ramadan, banyak pahala yang dapat diraih sempena bulan yang mulia ini.
2. Meninggalkan perbuatan yang tiada kaitan dengan diri sendiri
Sering kali manusia berasa sempit dan tidak cukup masa disebabkan kebocoran dalam pengurusan masanya. Tanggungjawab dirasakan terlalu banyak sehingga masa seolah-olah tidak mencukupi. Namun, nafsu manusia sering terpedaya untuk melakukan perkara yang melalaikan.
Kebanyakan kelalaian seorang Muslim berpunca daripada kesibukannya mencari cerita atau aib orang lain. Perkara tersebut lebih baik ditinggalkan kerana ia bukan urusannya. Hal ini termasuk tabiat menatal media sosial tanpa tujuan sehingga terlalai dengan gosip yang tidak menguntungkan.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Daripada kebaikan Islam seseorang ialah dia meninggalkan apa yang tidak berkaitan dengannya.” (Sunan al-Tirmidhi, hadis no. 2318)
Sekiranya seseorang Muslim membataskan dirinya kepada perkara yang benar-benar penting dan berkait dengan dirinya, masa akan lebih terjaga dan diberkati.
3. Memberikan keutamaan kepada yang wajib, kemudian yang sunat (nawafil)
Seorang Muslim wajar memberi perhatian khusus dalam menentukan keutamaan semasa beramal. Walaupun Ramadan membawa peluang solat terawih yang tidak terdapat dalam bulan-bulan lain, hal ini tidak bermakna solat wajib boleh diabaikan.
Perintah wajib merupakan ketetapan yang perlu disempurnakan terlebih dahulu oleh seorang Muslim. Setelah kewajipan dilaksanakan, barulah amalan sunat ditambah bagi mendekatkan diri kepada Allah. Sebuah hadis qudsi menyebutkan maksudnya:
“Daripada Abu Hurairah r.a., Rasulullah SAW bersabda bahawa Allah SWT berfirman: ‘Barang siapa memusuhi wali-Ku, maka Aku mengisytiharkan perang terhadapnya. Tidaklah seorang hamba mendekatkan diri kepada-Ku dengan sesuatu yang lebih Aku cintai daripada apa yang telah Aku wajibkan kepadanya.
“Hamba-Ku sentiasa mendekatkan diri kepada-Ku dengan amalan sunat sehingga Aku mencintainya…’” (Sahih al-Bukhari, hadis no. 6502)
Ramadan membuka peluang luas untuk memperelokkan amalan wajib serta menambah amalan sunat. Solat rawatib sebelum dan selepas solat fardu, solat duha, solat tahajud serta solat terawih merupakan antara amalan sunat yang sangat digalakkan.
Amalan-amalan ini mengundang cinta Allah kepada hamba-Nya. Jika seorang hamba dicintai Allah, maka Dialah yang membimbing setiap tindakan, keputusan serta gerak-geri hamba-Nya agar sentiasa diberkati.
4. Memperbanyakkan sedekah
Bersedekah ialah antara amalan yang dijanjikan pahala yang berganda. Dalam hadis digambarkan bahawa sifat pemurah Rasulullah SAW pada bulan Ramadan bagaikan angin yang bertiup.
Allah SWT menyebut tentang ganjaran bersedekah dalam Surah al-Baqarah ayat 261 yang bermaksud: “Bandingan orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah ialah seperti sebiji benih yang menumbuhkan tujuh tangkai; pada tiap-tiap tangkai itu terdapat seratus biji. Allah melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya, dan Allah Maha Luas kurnia-Nya lagi Maha Mengetahui.”
Dengan memperbanyakkan infak sepanjang Ramadan, pahala akan bertambah dan keberkatan masa juga dapat dipertingkatkan. Semoga empat petua ini dapat diamalkan bersama bagi menambah keberkatan masa sepanjang Ramadan.
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

Dr. Alwani Ghazali
Pensyarah Kanan
Jabatan Usuluddin dan Dakwah
Akademi Pengajian Islam
Universiti Malaya
e-mel: aghazali@um.edu.my