fb fb fb fb fb

UCI pilih Malaysia tuan rumah pusingan akhir Trek Piala Dunia 2026

Pusingan terakhir Kejohanan Trek Piala Dunia 2026 akan berlangsung di Velodrom Nasional, Bandar Baru Nilai, Negeri Sembilan / Foto Hiasan / Bernama

KUALA LUMPUR, 22 Ogos – Malaysia sekali lagi mencuri tumpuan dunia apabila Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) secara rasmi memilih negara ini sebagai tuan rumah pusingan terakhir Kejohanan Trek Piala Dunia 2026.

Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) menerusi kenyataan memaklumkan pertandingan berprestij itu akan berlangsung dari 24 hingga 26 April 2026 di Velodrom Nasional, Bandar Baru Nilai, Negeri Sembilan.

Presiden Konfederasi Berbasikal Asia (ACC) merangkap Presiden PKBM, Datuk Amarjit Singh Gill berkata kemenangan bidaan itu adalah hasil sokongan padu Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta keyakinan UCI terhadap kemampuan Malaysia sebagai penganjur berkaliber.

“Penganjuran kejohanan ini penting kerana ia merupakan medan kelayakan mata ke Sukan Olimpik Los Angeles 2028, selain dijangka menarik penyertaan pelumba elit dunia,” katanya.

Malaysia kali terakhir menganjurkan Kejohanan Trek Piala Dunia pada tahun 2001 di Ipoh, Perak.

Menurut PKBM, penganjuran kali ini bukan sahaja mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab berbasikal Asia, malah membuka peluang kepada pelumba negara termasuk Datuk Mohd Azizulhasni Awang dan Muhammad Shah Firdaus Sahrom untuk beraksi di gelanggang sendiri.

PKBM yakin kejohanan itu bakal memberi impak besar kepada pembangunan berbasikal negara, sekali gus mengangkat nama Malaysia di pentas antarabangsa.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN