MANCHESTER, 22 Ogos – Pertahanan Manchester City, Ruben Dias menandatangani lanjutan kontrak yang akan mengekalkannya bersama juara Liga Perdana itu sehingga 2029.
Pemain antarabangsa Portugal berusia 28 tahun itu telah meraih 10 trofi sejak tiba dari Benfica pada 2020, termasuk treble bersejarah 2023 dan membantu City muncul pasukan pertama menjuarai empat gelaran liga berturut-turut pada 2024.
Dias, yang pernah dinobatkan sebagai Pemain Terbaik Liga Perdana 2020/21 serta Pemain Terbaik Persatuan Penulis Bola Sepak (FWA), berkata beliau bangga terus bersama City dan berazam membantu kelab itu memburu lebih banyak kejayaan.
Pengarah Bola Sepak City, Hugo Viana, menyifatkan Dias sebagai seorang pemimpin dan profesional sejati yang menjadi tonggak utama dalam skuad kendalian Pep Guardiola. -REUTERS