KUALA LUMPUR, 22 Ogos – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan ucapan tahniah kepada pelari pecut negara, Zamir Azman yang menjuarai acara 100 meter di Sukan SEA Pekak 2025, Jakarta.
Menerusi hantaran di laman Facebook, Datuk Seri Anwar menyifatkan kejayaan Zamir yang turut memecahkan rekod temasya dengan catatan 11.07 saat sebagai satu pencapaian membanggakan buat Malaysia.
“Semoga kejayaan ini menjadi inspirasi kepada semua, demi membina masa depan sukan negara yang lebih inklusif, progresif dan gemilang,” katanya.
Kejayaan Zamir itu menambah koleksi pingat emas negara dalam temasya yang sedang berlangsung sehingga 26 Ogos ini di Jakarta, Indonesia.