BIRMINGHAM, 8 Ogos - Hasrat kontinjen Malaysia untuk menambah koleksi pingat emas pada hari terakhir nampaknya masih belum menjelma.
Ini selepas pemain badminton lelaki negara, Ng Tze Yong tumbang di pentas final di tangan pemain India, Lakshya Sen, sekali gus hanya mampu membawa pulang kilauan perak.
Pada aksi final acara perseorangan lelaki itu, Tze Yong turun dengan semangat membara.
Pemain berusia 22 tahun itu bermula baik dan dilihat berpeluang memenangi emas apabila mendominasi set pertama 21-19.
Namun, Lakhsya Sen bangkit di set kedua apabila mudah menjinakkan Tze Yong 9-21, sekali gus mengheret pertemuan ke set ketiga.
(Pemain perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong raih perak, tewas kepada Lakshya Sen dari India/FOTO BERNAMA)
Dalam set penentuan itu, kedua-dua pemain saling kejar-mengejar dan mengutip mata.
Namun, di penghujung set Tze Yong dilihat gagal mengekalkan ketenangannya dan terpaksa akur dengan kehebatan Sen yang menang 16-21.
Kini harapan terakhir mengutip pingat emas hari terakhir disandarkan kepada pemain beregu wanita, Pearly Tan-M. Thinaah yang akan berdepan beregu tuan rumah, Chloe Birch-Lauren Smith dalam satu lagi aksi final.