BUKIT KIARA, 11 Mei - Selangor Red Giants OG (SRG.OG) dan HomeBois menjadi dua pasukan terawal menempah tiket ke pusingan kalah mati MPL Malaysia Musim Ke-15 selepas masing-masing mencatat kemenangan bersih 2-0 dalam aksi minggu keempat.
SRG.OG yang dibarisi pemain import, John Banal (Innocent), tampil bertenaga menundukkan JP Niners hasil kombinasi mantap bersama Muhammad Haqqullah (Sekysss). Mereka memanfaatkan kelemahan pertahanan lawan, sekali gus menyaksikan Innocent dinobatkan sebagai MVP perlawanan pertama.
Pusingan kedua menyaksikan JP Niners cuba mengubah strategi, namun kekentalan trio Innocent, Sekysss dan Kramm terus menafikan kebangkitan. Innocent menutup aksi dengan 'savage' dalam serangan terakhir, mengekalkan rekod tanpa kalah SRG.OG di tangga kedua liga.
Dalam perlawanan berasingan, HomeBois turut cemerlang apabila menewaskan juara Piala E-Sukan Malaysia, Team Vamos sekali gus memastikan slot mereka ke playoff dengan 6 kemenangan tanpa tewas.
Kini, empat tempat terakhir masih terbuka untuk perebutan dengan aksi playoff dijadual bermula 31 Mei ini.