fb fb fb fb fb

Skuad kuadran negara layak ke separuh akhir

Pasukan negara menampilkan aksi bertenaga bagi meraih gelaran juara kumpulan. Foto Bernama

KUALA LUMPUR, 11 Mei- Skuad Kuadran negara mara ke pusingan separuh akhir selepas menewaskan Jepun 2-0 dalam aksi terakhir peringkat Kumpulan B, Kejohanan Sepak Takraw Piala Asia 2025.

Saingan di stadium Titiwangsa itu menyaksikan pasukan negara menampilkan aksi bertenaga bagi meraih gelaran juara kumpulan.

Pasukan negara menurunkan barisan utama diketuai Amirul Zazwan Amir, Muhammad Afifudin Mohd Razali, Muhammad Shahalril Aiman Halim dan Norfaizzul Abd Razak.

Pasukan negara bermula perlahan apabila ketinggalan 5-1 dalam set pertama, namun bangkit untuk mencatat kemenangan 17-15.

Set kedua menyaksikan tentangan sengit Jepun, namun skuad hitam kuning kekal konsisten untuk menang 15-10.

Ketua jurulatih kuadran negara, Mohammad Zulkarnain Mohamed Arif berpuas hati dengan prestasi yang ditampilkan anak buahnya.

Sementara itu, ketua pasukan Amirul Zazwan Amir percaya kemenangan tersebut mampu memberi tonik semangat menjelang aksi separuh akhir esok.

"Bagi saya, saya percaya dengan kita punya prestasi dengan kawan-kawan punya prestasi. Jadi saya rasa kita dalam landasan yang terbaik untuk capai juara," katanya ketika ditemui di sini.

Malaysia dijangka bertemu Korea Selatan atau Vietnam yang muncul naib juara Kumpulan A, bagi merebut slot ke pentas akhir.

JALALUDDIN BIN BAHARIN