fb fb fb fb fb

Hakim Danish raih podium kedua di Perancis

Hakim Danish yang memulakan perlumbaan dari petak utama menamatkan perlumbaan di belakang juara dari Sepanyol Benat Fernandez

KUALA LUMPUR, 11 Mei- Pelumba muda sensasi negara Hakim Danish Ramli bangkit daripada kemalangan di awal perlumbaan untuk menamatkan saingan di tempat kedua pada Perlumbaan 2 saingan Red Bull Rookies Cup di Litar Le Mans, Perancis.

Meskipun terjatuh, pelumba berusia 17 tahun itu tidak menyerah kalah, sebaliknya bingkas bangun, kembali menguasai litar dan mengejar satu demi satu pencabar untuk kembali menaiki podium.

Hakim yang memulakan perlumbaan dari petak utama menamatkan perlumbaan di belakang juara dari Sepanyol Benat Fernandez yang mencatat masa 25 minit 46.423 saat.

Tempat ketiga pula menjadi milik wakil Argentina Marco Morelli.

“Saya sangka sudah terlepas peluang podium, tetapi saya angkat semula motosikal, tenangkan diri dan cuba potong seberapa ramai pelumba yang saya mampu. Syukur, saya berjaya,” katanya yang turut meraih dua tempat kedua pada pusingan pembukaan di Jerez, Sepanyol.

Lebih manis, keputusan podium itu menyaksikan Hakim Danish kekal pendahulu keseluruhan dengan mengumpul 80 mata.

JALALUDDIN BIN BAHARIN