(Ng Tze Yong menerima hadiah raket terakhir dari legenda badminton negara, Datuk Lee Chong Wei)
BUKIT JALIL, 2 Julai - Pemain perseorangan muda negara, Ng Tze Yong melalui detik yang pastinya sukar dilupakannya apabila menerima hadiah raket terakhir digunakan oleh legenda badminton negara, Datuk Lee Chong Wei, di Axiata Arena, Bukit Jalil, hari ini.
Raket tersebut dihadiahkan Datuk Chong Wei kepada Tze Yong sebagai 'suntikan semangat istimewa' buat pemain ranking ke-48 dunia itu yang akan membuat penampilan sulung di Sukan Komanwel 2022, Birmingham, hujung bulan ini.
Menurut Datuk Chong Wei, beliau berharap sumbangannya itu dapat memberi tonik keyakinan buat Tze Yong bagi mengharumkan nama Malaysia selepas ketiadaan Lee Zii Jia pada temasya di Birmingham.
"Saya rasa ini merupakan detik manis untuk Tze Yong dan saya sendiri. Saya pun sudah bersara dengan raket saya.
"Orang Cina cakap 'Ong' tuah untuk dia (Tze Yong)... Untuk permainannya yang akan datang saya harap dia boleh mengawal sebarang tekanan di Komanwel yang juga harapan saya dan rakyat Malaysia," katanya ditemui ketika Majlis 'Legend Vision yang diadakan sempena Kejohanan Terbuka Malaysia.
(Dari kiri: Taufik Hidayat, Lee Yong Dae, Datuk Chong Wei, dan Peter Gade di Kejohanan Terbuka Malaysia, Arena Axiata, Bukit Jalil/FOTO FB Chong Wei)
Dalam majlis tersebut, bekas pemain nombor satu dunia itu diraikan bersama tiga lagi legenda dunia iaitu Taufik Hidayat, Peter Gade dan Lee Yong Dae manakala Lin Dan menyertai mereka secara maya.