SEPANG, 30 Julai - Atlet terjun lelaki negara, Ooi Tze Liang akan berusaha bagi mempamerkan aksi yang terbaik dalam temasya sukan Komanwel Birmingham.
Atlet kelahiran Pulau Pinang itu menyatakan persiapan yang rapi telah dilakukan sejak empat tahun lalu memandangkan ini merupakan penyertaan terakhirnya dalam temasya berkenaan.
Beliau yang kini berusia 28 tahun itu juga menyatakan temasya kali ini akan memberikan rekod yang terbaik dari komanwel sebelum ini.
"Saya akan bagi komitmen penuh kali ini sebab empat tahun sudah saya menunggu, rekod lepas juga tidak berapa bagus, jadi saya harap temasya kali ini lebih baik dari sebelumnya," kata ketika ditemui media di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum berangkat ke Brimingham malam tadi.
Bulan lalu beliau hanya mampu menduduki tempat kelima dalam acara 3 meter (m) dan 10m berpasukan campuran pada Kejohanan Dunia 2022.
Acara yang merupakan gabungan platform 10m dan papan anjal 3m itu menyaksikan Pandelela - Tze Liang mengumpul 350.25 mata di Arena Duna di Budapest, Hungary.