fb fb fb fb fb

Hendrawan pamer semangat kesukanan tinggi, beri kasut kepada pemain Jamaica

BIRMINGHAM, 30 Julai- Jurulatih badminton negara Hendrawan mempamerkan semangat kesukanan tinggi apabila memberikan kasutnya kepada pemain Jamaica, Samuel Ricketts ketika saingan Sukan Komanwel Birmingham 2022, awal pagi tadi.

Terdahulu, tapak kasut Ricketts yang ketika itu sedang beraksi menentang pemain perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong dalam aksi Kumpulan D acara berpasukan campuran terkoyak sekali gus memaksa perlawanan yang berlangsung di National Exhibition Centre itu dihentikan seketika.

Ricketts kemudiannya dilihat memakai kasut sukan biasa (bukan kasut badminton) yang dipinjamkan oleh jurulatihnya daripada rakan sepasukan untuk meneruskan aksi.

Tze Yong turut menawarkan kasutnya tetapi ditolak secara baik lawannya itu mungkin kerana saiznya tidak sama sebelum Hendrawan yang datang dari tempat duduk jurulatih menunjukkan saiz kasutnya kepada Ricketts dan dia bersetuju untuk memakainya bagi meneruskan aksi dalam perlawanan itu.

Hendrawan kemudiannya kembali ke tempat duduk jurulatih dengan hanya memakai stokin.

Dalam perlawanan itu, Tze Yong tidak berdepan masalah untuk mengatasi Samuel menerusi kemenangan straight set 21-12, 21-16.


(Hendrawan sekadar menggunakan stoking selepas memberikan kasutnya kepada pemain Jamaica Samuel Ricketts)

Media Baharu