fb fb fb fb fb

Turkiye siasat judi bola sepak babitkan kelab

Presiden Persatuan Bola Sepak Turkiye (TFF), Ibrahim Ethem Haciosmanoglu

ISTANBUL, 24 November - Presiden Persatuan Bola Sepak Turkiye (TFF), Ibrahim Ethem Haciosmanoglu, mengumumkan siasatan judi yang telah menjejaskan kira-kira 150 pengadil dan pembantu pengadil akan diperluas untuk turut melibatkan kelab-kelab profesional.

Beliau berkata demikian pada sidang media di ibu pejabat TFF di Istanbul, menjelaskan bahawa siasatan yang bermula dengan pengadil disambut baik, tetapi kerjasama semakin berkurang apabila tumpuan beralih kepada pemain.

Haciosmanoglu menyeru presiden kelab untuk mengambil inisiatif melakukan siasatan dalaman masing-masing dan tidak marah sekiranya mereka menghadapi keputusan negatif hasil daripada siasatan TFF mahupun pejabat pendakwa raya.

Awal bulan ini, TFF menggantung 149 pengadil dan pembantu pengadil selepas mendapati pegawai dalam liga profesional terlibat dalam pertaruhan perlawanan. Siasatan kemudiannya diperluas dengan penahanan lapan individu, termasuk pengerusi sebuah kelab liga utama, serta penggantungan 1,024 pemain dari semua liga. Perlawanan liga kedua dan ketiga turut ditangguhkan selama dua minggu.

Menurut Ketua Pendakwa Raya Istanbul, Akin Gurlek, Turkiye bekerjasama dengan badan bola sepak Eropah (UEFA) dan polis antarabangsa (Interpol) dalam siasatan berkenaan. Pihak berkuasa juga memantau warga Turkiye yang disyaki terlibat dalam perjudian haram di Montenegro, Cyprus, dan Georgia.

Siasatan TFF mendapati 371 daripada 571 pengadil dalam liga profesional Turki mempunyai akaun pertaruhan.

Bawah peraturan disiplin sukan Turkiye, individu yang didapati mempengaruhi keputusan atau perkembangan perlawanan, atau menerima sebarang bentuk pembayaran, akan digantung daripada sukan ini secara kekal. Sekiranya kesalahan dilakukan oleh eksekutif kelab, kelab boleh diturunkan pangkat manakala mereka yang terlibat dikenakan denda.-REUTERS

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE