fb fb fb fb fb

Majoriti penduduk Berlin tolak usaha bida Sukan Olimpik

FOTO HIASAN

BERLIN, 24 November - Majoriti penduduk Berlin tidak mahu bandar raya itu membida untuk menjadi tuan rumah Sukan Olimpik, menurut satu tinjauan yang diterbitkan pada Isnin, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Dalam tinjauan yang ditugaskan oleh akhbar Tagesspiegel, 67 peratus responden menolak usaha membida temasya Olimpik 2036, 2040 atau 2044, manakala 27 peratus menyokong rancangan itu. Seramai enam peratus masih tidak pasti.

Keputusan ini dijangka meningkatkan lagi perdebatan mengenai bidaan itu, khususnya selepas gabungan “NOlympia” mengumumkan satu referendum yang dijadual bermula pada 1 Jan 2026.

Referendum yang berpotensi dianjurkan oleh kerajaan hanya boleh diadakan selewat-lewatnya pada 2027, selepas badan sukan Olimpik Jerman, DOSB, membuat keputusan mengenai calon negara untuk temasya sukan itu.

DOSB dijangka memutuskan pada suku ketiga 2026; bandar atau wilayah mana yang akan mengemukakan bidaan serta untuk edisi temasya mana, dengan Sukan Olimpik 2036, 2040 atau 2044 dalam pertimbangan.

Berlin, Hamburg, Munich dan Wilayah Rhine-Ruhr semuanya bersaing untuk menjadi tuan rumah Sukan Olimpik.

Penduduk Munich baru-baru ini mengundi menyokong bidaan itu, manakala Negeri Rhine-Westphalia Utara akan mengadakan referendum pada 19 April bagi menentukan sama ada Wilayah Rhine-Ruhr harus meneruskan usaha bidaan.- BERNAMA-dpa

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE