HONG KONG, 24 November - Ketua jurulatih pasukan bola sepak Hong Kong, Ashley Westwood, mengumumkan akan meletakkan jawatan selepas pasukan itu tewas 2-1 kepada Singapura dalam kelayakan Piala Asia 2027 pada minggu lalu, di Stadium Kai Tak.
Westwood, 49 tahun, menerima kritikan daripada peminat dan turut ditegur oleh Menteri Kebudayaan, Sukan dan Pelancongan Hong Kong, Rosanna Law, selepas pasukannya gagal mengekalkan kelebihan awal dalam perlawanan tersebut. Rosanna Law menyatakan di media sosial bahawa pandangannya mengenai strategi perlawanan “sangat berbeza” dengan jurulatih.
Persatuan Bola Sepak Hong Kong (HKFA) mengesahkan pihaknya telah mencapai persetujuan untuk menamatkan kerjasama dengan Westwood.
Jurulatih itu dipetik berkata, “Tiba masanya untuk berundur. 15 bulan yang lalu merupakan pengalaman luar biasa dengan peningkatan ranking, gaya permainan dan memenangi trofi dalam kelayakan EAFF. Kekalahan untuk layak ke Piala Asia adalah sesuatu yang saya perlu hadapi sendiri.”
Sejak mengambil alih pasukan pada Ogos 2024, Westwood mencatat 10 kemenangan dan enam kekalahan daripada 20 perlawanan, menurut laporan South China Morning Post. HKFA masih belum mengumumkan pengganti bagi jawatan ketua jurulatih pasukan. -AFP