TOKYO, 24 November - Kem Olahraga pekak negara berdepan masa sukar apabila tiga wakil negara gagal meraih sekurang-kurangnya podium dalam acara 5,000 meter (m), 4x400m serta lompat jauh pada Deaflympics Tokyo 2025 yang berlangsung di Stadium Komazawa Metropolitan.
Hasrat Azlan Kuste untuk meneruskan momentum cemerlang selepas dua kali memecahkan rekod kebangsaan 1,500m sebelum ini tidak kesampaian apabila sekadar menamatkan saingan 5,000m di tempat ke-12 dengan catatan 16 minit 38.49 saat.
Saingan akhir itu dikuasai sepenuhnya trio Kenya yang menyapu bersih kedudukan podium menerusi Ian Kahinga Wambui (13:52.83s), James Musembi Mwanza (14:15.28s) dan Nelson Kipkorir Rotich (14:43.35s).
Sementara itu, kuartet 4x400m negara Muhammad Zumar Azman, Muhammad Zamir Azman, Azlan dan Muhammad Shahrul Azmeer Azman menamatkan perlumbaan di tempat ketujuh namun berjaya memperbaiki catatan masa kepada 3:33.18s berbanding 3:33.94s pada pusingan pertama.
Pingat emas acara itu menjadi milik Jepun dengan masa 3:17s, diikuti Colombia (3:18.97s) dan Turkiye (3:19.03s).
Dalam acara lompat jauh, Zaiman Megat Abu sekadar mencatat 6.57m untuk berada di tempat kesembilan, manakala seorang lagi atlet negara, Hazrul Syah Hamri menamatkan aksi di kedudukan terakhir dengan lompatan 6.20m.