fb fb fb fb fb

Speedy Tigers raih kemenangan pertama Kejohanan Hoki Piala Sultan Azlan Shah

Kejohanan Hoki Piala Sultan Azlan Shah / Foto Facebook Hokita

IPOH, 25 November - Speedy Tigers meraih kemenangan pertama dalam Kejohanan Hoki Piala Sultan Azlan Shah selepas menewaskan Kanada 3–2 dalam aksi kedua, malam Isnin.

Kejayaan itu kembali mengukuhkan momentum skuad negara dalam kempen berprestij berkenaan.

Jurulatih Malaysia, Sarjit Singh berkata, pasukan negara bernasib baik untuk menang selepas ditekan Kanada pada separuh masa kedua.

“Kami membenarkan Kanada bangkit semula dalam perlawanan. Kami sangat bernasib baik kerana tidak dihukum melalui pukulan sudut penalti mereka.

"Mereka mempunyai lebih banyak pukulan sudut penalti berbanding kami, dan jika mereka menjaringkan dua daripadanya, kami sudah tentu tewas,” katanya.

Sementara itu, jurulatih Kanada, Patrick Tshutshani, mengakui permulaan perlahan pasukannya memberi kelebihan awal kepada Malaysia sebelum mereka kembali mendapat rentak.

“Ya, saya rasa Malaysia bermula dengan baik. Kami agak perlahan pada awalnya, mereka memberi tekanan dan kami kebobolan agak awal. Namun, saya rasa kami perlahan-lahan membawa diri kembali ke dalam perlawanan," katanya.

Perlawanan yang pada asalnya dijadual pukul 8 malam terpaksa ditunda ke 10.08 malam akibat hujan lebat di Stadium Sultan Azlan Shah.

Malaysia bermula cemerlang apabila Mohd Fitri Saari membuka tirai jaringan seawal minit kelima sebelum Sean Davis menyamakan kedudukan pada minit ke-13.

Kanada kemudian mendahului menerusi jaringan Matthew Sarmento pada minit ke-17, namun Speedy Tigers bangkit segera dengan gol penyamaan Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal tiga minit selepas itu.

Malaysia kembali di depan pada minit ke-25 apabila Faizal Saari menyempurnakan pukulan sudut penalti dengan tenang.

Skuad negara turut berjaya menjaringkan satu lagi gol pada minit ke-40, namun jaringan itu dibatalkan.

MARDHIYAH MOHAMMED ZIN