fb fb fb fb fb

Tukang perak Sydney hasilkan trofi ikonik Australian Open

Foto REUTERS

SYDNEY, 12 Disember – Bengkel W.J. Sanders di Sydney kini giat menyiapkan kira-kira 150 trofi bagi edisi Australian Open 2026, termasuk dua trofi paling berprestij iaitu Trofi Norman Brookes dan Trofi Daphne Akhurst.

Seramai 10 tukang perak terlibat dalam proses pembuatan trofi yang bermula sebelum kejohanan 2025, kata Pengurus Besar, Darren May.

“Apabila para juara mengangkat trofi itu di Rod Laver Arena, kami teringat ketelitian dan kerja tangan yang dicurahkan sepanjang proses pembuatannya,” katanya kepada Reuters.

Menurut tukang perak Paul Smith, yang menghasilkan replika trofi perseorangan wanita, reka bentuk ringkas trofi tersebut memerlukan ketepatan tinggi. Trofi asal kekal di Australia, manakala replika dibawa pulang oleh juara.

Kesemua trofi utama, perseorangan, beregu dan beregu campuran dibuat sepenuhnya secara manual menggunakan sekitar 18 kilogram perak, dengan nilai sekurang-kurangnya A$860,000 setiap satu.

Kemahiran membuat trofi secara tradisional kini diklasifikasikan sebagai “kraf terancam” dalam Senarai Merah Heritage Crafts Britain, namun May menegaskan sentuhan manusia tidak boleh digantikan oleh mesin.

Awal tahun ini, Jannik Sinner dan Aryna Sabalenka menjulang trofi masing-masing. Kedua-duanya dijangka kembali beraksi pada 18 Januari hingga 1 Februari bagi memburu gelaran baharu di Melbourne. -REUTERS

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN