PUTRAJAYA, 12 Disember - Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menegaskan pihaknya memandang serius isu melibatkan penarikan diri atlet pecut muda negara, Danish Irfan Tamrin, daripada skuad 4x100 meter kebangsaan.
Susulan itu, beliau mengarahkan Majlis Sukan Negara (MSN) mendapatkan laporan penuh daripada Olahraga Malaysia (MA) bagi memastikan siasatan dijalankan segera dan menyeluruh.
“Jika siasatan mendapati terdapat salah laku, MSN akan mengambil tindakan. Semua keputusan pemilihan atlet mesti berdasarkan merit,” katanya pada sidang media di Menara KBS.
Hannah turut memberi jaminan kepada ibu bapa bahawa siasatan sedang berjalan dan kementerian akan bertindak secara profesional sekiranya wujud sebarang pelanggaran etika.
“Saya nak beri assurance kepada ibu bapa, jangan risau. Kita akan bertindak secara profesional jika ada isu salah laku,” katanya.
Isu tersebut tercetus selepas tular dakwaan bahawa Danish dipaksa menulis surat menarik diri daripada menyertai kuartet 4x100 meter negara ke Sukan SEA Thailand, sehingga mencetuskan rasa kurang senang netizen yang mengaitkannya dengan unsur kronisme dalam pemilihan atlet.
Dalam perkembangan berkaitan, Hannah menyifatkan pencapaian kontinjen negara yang meraih tiga pingat emas di Sukan SEA sebagai perkembangan positif dan berharap atlet meneruskan komitmen penuh ketika bertanding.
Beliau berkata kementeriannya akan terus meneliti aspek penambahbaikan bagi memperkukuh prestasi keseluruhan atlet negara.