(Kejayaan Syasya yang merupakan anak kedua daripada empat beradik itu adalah emas kedua disumbangkan skuad menembak kebangsaan)
HANOI, 20 Mei- Pusat Latihan Sukan di sini menjadi saksi buat penembak kebangsaan, Nurul Syasya Nadiah Mohd Ariffin beraksi cemerlang bangkit di pertengahan pusingan apabila meraih pingat emas ke-35 negara.
Tanpa pengalaman luas, atlet menembak negara Nurul Syasya Nadiah Mohd Arifin mencipta kejutan memenangi pingat emas 10 meter (m) air pistol wanita pada penampilan sulungnya di Sukan SEA, hari ini.
Penembak berusia 20 tahun berasal dari Batu Pahat, Johor itu berjaya menampilkan konsistensi dalam setiap bidikan untuk mengumpul 239.3 mata sekali gus mengatasi pencabar lain.
"Alhamdulillah syukur saya dapat bawa balik pingat emas untuk Malaysia.
"Ini merupakan Sukan SEA pertama saya dan satu kebanggaan dapat menyumbang pingat emas, apapun tentunya saya berterima kasih kepada jurulatih erana terus membantu perjalanan memburu pingat ini," katanya.
(Nurul Syasya Nadiah Mohd Arifin (tengah)
Perak dimenangi penembak Thailand Tanyaporn Prucksakorn selepas mengumpul 238.7 mata sementara gangsa menjadi milik wakil tuan rumah Thu Vinh Trinh yang meraih 214.1 mata.
Ia adalah emas ke-35 kontinjen negara, berbaki tiga hari sebelum temasya sukan dwitahunan yang memasuki edisi ke-31 itu melabukan tirainya.
Kejayaan Syasya yang merupakan anak kedua daripada empat beradik itu adalah emas kedua disumbangkan skuad menembak kebangsaan selepas Johnathan Wong turut membutirkan emas dalam acara 10m air pistol lelaki, semalam.