fb fb fb fb fb

'Saya tetap bangga walaupun tewas' - Brad Maloney

HANOI, 20 Mei - Pengendali skuad Bawah 23 tahun (B-23) negara, Brad Maloney tetap berbangga terhadap semangat juang yang ditampilkan para pemainnya, meskipun tewas 0-1 kepada tuan rumah Vietnam pada aksi separuh akhir semalam.

Menurut jurulatih kelahiran Australia itu persembahan anak buahnya wajar dipuji walaupun terpaksa berhadapan beberapa kesukaran termasuklah tempoh rehat yang kurang mencukupi.

(Brad Maloney)

"Saya sangat berbangga dengan mereka. Mereka telah bekerja keras dengan sepenuh jiwa. Dan berikan semua apa sahaja yang mereka ada," kata Maloney di sini.

Skuad Harimau Muda katanya bermain dengan baik sehingga mampu mengheret Vietnam yang juga juara bertahan ke masa tambahan.

Tambah beliau temasya Sukan SEA memberi pasukannya banyak peluang untuk berdepan pasukan yang lebih kuat sekali gus membantu pemain muda mendapatkan lebih banyak pengalaman.

Pada perlawanan tersebut jaringan tunggal Nguyen Tien Linh pada minit ke-110 membawa Vietnam ke perlawanan akhir bertemu Thailand.

Manakala Malaysia pula akan menentang Indonesia dalam perebutan pingat gangsa dengan perlawanan akan berlangsung di Stadium My Dinh, Ahad ini.

Media Baharu