fb fb fb fb fb

TRW sasar tiga mata, Elavarasan rancang rombakan posisi

Aksi pemain Kelantan The Real Warriors FC ketika menentang PDRM FC di Stadium Majlis Perbandaran Selayang. / BERNAMA

KOTA BHARU, 26 September - Ketua jurulatih Kelantan The Real Warriors (TRW) E. Elavarasan optimis pasukannya mampu meraih tiga mata berharga apabila menentang Brunei DPMM dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Hassanal Bolkiah, Bandar Seri Begawan, malam esok.

Elavarasan berkata beberapa rombakan akan dilakukan bagi memperkukuh barisan pemain selepas kekalahan kepada PDRM FC minggu lepas.

“Kami akan melakukan perubahan di beberapa posisi untuk berdepan Brunei DPMM, dengan misi membawa pulang tiga mata penuh. Kekalahan kepada PDRM memang sukar diterima tetapi itu sebahagian daripada proses pembentukan pasukan,” katanya kepada Bernama.

Selepas lima perlawanan, Kelantan TRW berada di kedudukan kelapan liga dengan lima mata hasil satu kemenangan dan dua seri manakala Brunei DPMM menghuni tangga tercorot dengan hanya satu mata daripada satu keputusan seri dan tiga kekalahan.

Elavarasan menegaskan pemainnya perlu tampil lebih tersusun dan berdisiplin untuk mengekang cabaran pasukan tuan rumah.

“Kami perlu perancangan rapi kerana beraksi di gelanggang lawan bukan tugas mudah. Kami turun dengan semangat baharu untuk memastikan sesuatu yang positif dapat dibawa pulang,” katanya.

Beliau turut mengingatkan pemain agar tidak memandang rendah kemampuan Brunei DPMM meskipun lawan itu berada di dasar liga.- BERNAMA

MOHAMAD KHAIRIE KHALID