KUALA LUMPUR, 15 Jun- Pasukan recurve wanita kebangsaan menempah slot ke Sukan Olimpik 2024 pada kejohanan ArcheryInParis Final Olympic Qualifier di Antalya, Turkiye, semalam.
Trio dibarisi Ariana Nur Dania Mohamad Zairi, Nurul Azreena Mohamad Fazil dan Syaqiera Mashayikh layak secara merit ke Sukan Olimpik 2024 selepas mara ke separuh akhir dengan menumpaskan Colombia yang diwakili Ana Maria Rendon, Valentina Acosta Giraldo dan Maira Sepulveda 6-0 di suku akhir.
Mereka kemudian meneruskan momentum kecemerlangan dengan melangkah ke final selepas menewaskan Megan Havers, Bryony Pitman dan Penny Healey dari Great Britain, 5-3.
Bagaimanapun, pasukan negara terpaksa akur dengan kehebatan pemanah dari China iaitu Yang Xiaolei, Li Jiaman dan An Qixuan yang menundukkan mereka 5-4 pada aksi final sekali gus menyaksikan Malaysia membawa pulang perak acara recurve berpasukan wanita.
Terdahulu, China mara ke final dengan menumpaskan Taiwan, 6-2.
Sebelum ini, Ariana Nur Dania telah berjaya melayakkan diri ke Sukan Olimpik dalam acara recurve wanita selepas memenangi pingat emas Kejohanan Kelayakan Benua Asia di Bangkok, November lepas.
Sukan Olimpik 2024 dijadual berlangsung di Paris dari 26 Julai-11 Ogos ini.- BERNAMA