fb fb fb fb fb

Piala FA: Kedah mara ke suku akhir dengan bergaya

Foto Facebook kdafc.my

ALOR SETAR, 15 Jun-Juara lima kali Piala FA, Kedah Darul Aman, (KDA FC) melangkah ke peringkat suku akhir selepas menang bergaya 5-0 ke atas pasukan Bukit Tambun FC dalam aksi di Stadium Darul Aman, malam tadi (Jumaat).

Ketua jurulatih Kedah, Nafuzi Zain meletakkan gandingan import, Ebenezer Assifuah dan Milos Gordic untuk mengemudi jentera serangan susulan Syafiq Ahmad yang mengalami kecederaan.

Taktikal tersebut nyata memberi impak positif dibahagian serangan.

Usaha tuan rumah berhasil pada minit ke 15 apabila Milos Gordic berjaya menjaringkan gol pembukaan.

Lima minit kemudian, KDA FC menggandakan jaringan menerusi rembatan padu Amirul Hisyam.

KDA FC yang mendapat sokongan padu lebih 5,000 penyokong setia terus garang memburu gol.

Assifuah membalas kepercayaan Nafuzi yang menurunkannya dalam kesebelasan utama pasukan dengan menjaringkan gol ketiga KDA FC pada minit ke 39.

Kedudukan 3-0 kekal hingga tamat babak pertama.

Bersambung babak kedua, KDA FC terus garang dengan gol ke empat pada minit ke 68 juga menerusi penyudah berbisa Assifuah.

KDA FC terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas pemain gantian, Aiman Afif dilayangkan kad merah selepas penelitian menerusi VAR menunjukkan Aiman mengasari pemain lawan.

Ketiadaan seorang pemain tidak menjejaskan rentak Sang Kenari.

Assifuah yang ditandatangani pada saat-saat akhir sebelum pintu pendaftaran pemain ditutup terus mempamerkan ketajamannya di depan gawang dengan menjaringkan gol kelima pasukan pada minit ke 79 sekaligus jaringan hatrik pertamanya musim ini.

Kedudukan 5-0 kekal hingga tamat perlawanan.

Di peringkat suku akhir, KDA FC akan bertemu pasukan jiran, Penang FC yang berjaya menundukkan Sri Pahang FC 4-3 menerusi penentuan sepakan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat satu sama pada 90 minit perlawanan.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD