PENNSYLVANIA, 27 Jun- “Bahasa memang cabaran terbesar.” Itu pengakuan Trent Alexander-Arnold selepas tampil buat kali pertama dalam kesebelasan utama Real Madrid ketika membantu pasukannya mencatat kemenangan 3-0 ke atas RB Salzburg, sekali gus menamatkan saingan Kumpulan H Piala Dunia Kelab selaku juara kumpulan.
Pemain pertahanan England itu yang baru menyertai kelab Sepanyol berkenaan, menyifatkan suasana dan rakan sepasukan baharu sebagai satu cabaran, namun berpuas hati dengan penyesuaian awalnya.
“Saya rasa ia memang perlukan masa. Tapi saya masuk ke padang dengan keyakinan dan rasa selesa,” katanya selepas perlawanan di Stade Charlety.
“Seperti dijangka, mungkin perlukan beberapa perlawanan untuk serasi dengan pemain lain, dalam persekitaran serta sistem baharu. Tapi rakan sepasukan sangat membantu, mereka buat saya rasa dialu-alukan. Saya dapat bermain dengan cara saya sendiri.”
Dalam perlawanan itu, pengendali baharu Real, Xabi Alonso, memperkenalkan pendekatan taktikal baharu dengan menurunkan formasi lima pertahanan, menyimpang daripada sistem tradisional 4-3-3 yang digunakan sejak era Carlo Ancelotti dan Zinedine Zidane.
Alonso meletakkan Aurelien Tchouameni di antara Antonio Ruediger dan Dean Huijsen sebagai pertahanan tengah, dengan Alexander-Arnold dan Fran Garcia diberi peranan bek sayap menyerang.
Di bahagian tengah, Jude Bellingham dan Arda Guler berfungsi sebagai perancang, disokong Federico Valverde, manakala Vinicius Jr dan Gonzalo Garcia mengetuai barisan serangan.
Taktik tersebut nyata membuahkan hasil apabila Vinicius membuka tirai jaringan pada minit ke-40 sebelum mencipta bantuan jaringan untuk Valverde pada masa kecederaan babak pertama. Garcia melengkapkan kemenangan dengan gol ketiga pada minit ke-84 hasil satu gerakan balas pantas.
Kemenangan tersebut memperlihatkan peningkatan ketara dalam persembahan Real Madrid, yang sebelum ini mencatat keputusan seri 1-1 menentang Al-Hilal dan menang 3-1 ke atas Pachuca dalam dua aksi awal kumpulan.
Real Madrid dijadual menentang Juventus dalam pusingan 16 terbaik pada Selasa ini, dengan Kylian Mbappe dijangka kembali memperkuat skuad selepas pulih daripada masalah kesihatan yang menyebabkannya terlepas keseluruhan aksi peringkat kumpulan.-REUTERS