fb fb fb fb fb

Belum ada gelaran, beregu campuran perlu bangkit segera- Nova

Ketua jurulatih beregu campuran negara, Nova Widianto / BERNAMA

KUALA LUMPUR, 27 Jun- Selepas rentetan kejayaan manis diraih oleh beregu lelaki dan wanita negara sepanjang musim ini, kem beregu campuran pula kini digesa memanfaatkan momentum tersebut untuk memburu gelaran sulung tahun ini.

Ketua jurulatih beregu campuran negara, Nova Widianto berharap barisan anak buahnya dapat menamatkan kemarau kejuaraan menjelang Kejohanan Dunia 2025 yang dijadual berlangsung di Paris, Ogos depan.

"Kami mengharapkan prestasi maksimum di kejohanan Terbuka Jepun dan Terbuka China nanti. Ketika ini, prestasi beregu lelaki dan wanita sangat meyakinkan. Cuma beregu campuran masih belum capai tahap terbaik, walaupun kombinasi yang ada semakin serasi," jelas Nova selepas sesi latihan skuad kebangsaan di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara.

Terbuka Jepun 2025 akan berlangsung dari 15 hingga 20 Julai di Tokyo, manakala Terbuka China menyusul dari 22 hingga 27 Julai di Changzhou.

Setakat ini, beregu lelaki utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, telah mempamerkan prestasi konsisten dengan merangkul tiga kejuaraan, termasuk gelaran Kejohanan Badminton Asia, serta dua kejuaraan berturut-turut di Thailand dan Singapura.

Beregu kedua, Man Wei Chong-Tee Kai Wun, turut mencatat pencapaian membanggakan apabila muncul juara di Masters Indonesia dan Masters Malaysia.

Sementara itu, beregu wanita utama negara, Pearly Tan-M. Thinaah, mencipta kejayaan dengan menjuarai Terbuka Thailand, selain dua kali muncul naib juara di kejohanan bertaraf tinggi di Indonesia.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE