fb fb fb fb fb

Savinder mahu sertai lebih banyak kejohanan sebelum Sukan SEA

Savinder Kaur ditemui media di KLIA sebaik tiba dari Thailand

KUALA LUMPUR, 27 Jun- Atlet 1,500 meter wanita negara, Savinder Kaur menegaskan keperluan untuk menyertai lebih banyak kejohanan sebagai persiapan rapi menuju temasya Sukan SEA akan datang.

Meskipun menjadikan Sukan SEA sebagai misi utama tahun ini, Savinder mengakui catatan semasa masih belum cukup meyakinkan untuk memburu podium dalam acara 1,500 meter wanita.

Menurutnya, penyertaan yang lebih kerap dalam pertandingan kompetitif dapat membantu memperbaiki masa larian selain menguatkan semangat untuk bertanding.

"Catatan terbaik peribadi saya sebelum ini memang pernah bawa saya ke podium, tapi untuk kali ini belum lagi. Itu sebab saya rasa perlu sertai lebih banyak kejohanan.

"Sekarang ini persaingan sangat sengit, terutama dari Filipina dan Vietnam, jadi kalau dapat tambah lagi pendedahan dan latihan, saya yakin saya mampu beri saingan."

Beliau menyatakan perkara berkenaan ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 2, semalam, sejurus kembali daripada kejohanan Terbuka Thailand.

Atlet berusia 28 tahun itu kini dalam fasa latihan intensif dan menilai kejohanan-kejohanan peringkat antarabangsa sebagai peluang penting untuk membina momentum.

Dalam aksi terakhir di Terbuka Thailand, Savinder melakar masa peribadi terbaik namun mengakui masih banyak perlu diperbaiki menjelang temasya besar.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE