fb fb fb fb fb

Pusat e-sukan KL Sports City dijangka siap 2026

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abdul Halim / BERNAMA

KUALA LUMPUR, 27 Jun- Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abdul Halim mengesahkan sebuah pusat e-sukan yang sedang dibangunkan oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dijangka beroperasi sepenuhnya pada tahun 2026.

Beliau berkata, maklumat lanjut berhubung pengoperasian pusat berkenaan akan diumumkan sekitar September ini, selepas proses pengeluaran tender selesai.

“Sekarang masih dalam proses pengeluaran tender dan sebagainya. Memang kita jangka penggunaannya bermula 2026,” katanya.

Jelas Adam, kemudahan berkenaan bukan sahaja menumpukan kepada e-sukan semata-mata, malah bakal berfungsi sebagai dewan serba guna bagi pelbagai aktiviti belia dan komuniti.

“Kita mahu pastikan sumber yang kita ada digunakan secara optimum,” katanya kepada pemberita selepas majlis penutup Kejohanan E-Sukan Belia ASEAN (AEYSC) 2025, semalam.

Turut hadir, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, Ketua Setiausaha KBS, Dr K. Nagulendran, dan Presiden Persekutuan Sukan Elektronik Malaysia (MESF), Muhammad Naim Al Amin Saharudin.

Dalam perkembangan berkaitan, KBS puas hati terhadap kejayaan penganjuran Kejohanan E-Sukan Belia ASEAN (AEYSC) 2025, yang menghimpunkan pemain dan pemegang taruh industri dari seluruh rantau Asia Tenggara.

Edisi kali ini hanya mempertandingkan satu acara iaitu eFootball Mobile, namun KBS yakin kejohanan tersebut boleh dijadikan titik permulaan kepada acara berskala lebih besar di masa depan, termasuk kemungkinan untuk dikembangkan ke negara-negara ASEAN lain.

Indonesia muncul juara keseluruhan selepas menyapu bersih kesemua tiga pingat emas yang ditawarkan menerusi kategori perseorangan lelaki, perseorangan wanita dan beregu campuran.

Malaysia membawa pulang dua pingat perak, manakala Thailand meraih satu perak dan dua gangsa. Myanmar pula menutup saingan dengan satu pingat gangsa.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE