fb fb fb fb fb

Toronto Masters: Osaka tarik diri, sakit pinggang

(FOTO AFP)

TORONTO, 10 Ogos- Juara Grand Slam empat kali Naomi Osaka terpaksa menarik diri daripada perlawanan pembukaannya pada aksi WTA Toronto Masters awal pagi tadi akibat sakit belakang.

Pada perlawanan tersebut, Kaia Kanepi dari Estonia mara apabila Osaka menarik diri selepas ketinggalan 7-6 (7/4), 3-0. Kanepi, naib juara minggu lalu di Washington, memerlukan 71 minit di gelanggang dan mendominasi sejak awal dengan servis kencang sebelum bintang Jepun itu memintanya berhenti.

Osaka kemudiannya dilihat beremosi dan menangis.

"Saya merasakan sakit pada bahagian pinggang sejak awal perlawanan dan walaupun cuba untuk meneruskannya, saya tidak dapat melakukannya hari ini," kata Osaka.

"Saya ingin memberi kredit kepada Kaia kerana bermain dengan baik dan ingin mengucapkan yang terbaik untuknya sepanjang kejohanan ini."

Osaka hanya bermain enam perlawanan dengan rekod 2-4 sejak tewas di final Miami pada awal April kepada pemain nombor satu dunia, Iga Swiatek.

Kanepi, 37, memenangi satu-satunya pertemuan terdahulu mereka lima tahun lalu dalam tiga set di Terbuka AS.

"Saya cuba bermain permainan saya dan kekal agresif. Ia adalah perlawanan yang sangat ketat," kata Kanepi. "Saya rasa saya memerlukan sedikit masa lagi untuk membiasakan diri dengan perkara baharu, tetapi selepas itu saya berasa selesa."

Sementara itu, penyandang juara Terbuka AS Emma Raducanu dari Britain tersingkir pada pusingan pertama, tewas 7-6 (7/0), 6-2 kepada pemain Itali, Camila Giorgi.

“Ia adalah perlawanan yang sangat bagus, sejujurnya,” kata Raducanu. “Tahap itu agak tinggi, terutama pada set pertama.

"Camila lawan yang hebat. Dia memenangi kejohanan ini tahun lepas. Saya hanya perlu menjadi lebih baik dalam menangani pemain yang bermain mungkin sepantas dia "

Juara bertahan WTA Kanada, Giorgi memenangi set pertama dengan agresif dan terus mempamerkan penguasaan di set kedua menentang Raducanu, yang bakal mempertahankan gelaran di New York dalam masa kurang daripada tiga minggu.- AFP


(Naomi Osaka menghadiahkan sebuah raket kepada penyokong sambil mengelap air matanya
selepas menarik diri daripada perlawanan pembukaan berdepan Kaia Kanepi / AFP)

Media Baharu