fb fb fb fb fb

TNB sasar pencapaian lebih baik dalam kempen MHL 2023

(Ketua Pegawai Global Business Solutions TNB, Ahmad Hushairi Ibrahim bergambar bersama
penerima insentif pemain dan jurulatih hoki TNB yang bertungkus-lumus mengharumkan
nama Malaysia di Kejohanan Hoki Piala Dunia edisi ke-15/ Foto BERNAMA) 

KUALA LUMPUR, 7 Februari - Pasukan hoki Tenaga Nasional Berhad (TNB) menyasarkan pencapaian lebih baik dalam kempen musim ini.

Selepas mengungguli Piala TNB tahun lalu, skuad kendalian Nor Saiful Zaini Nasiruddin mengintai peluang untuk merangkul Piala Sumbangsih dan kejuaraan Liga Hoki Malaysia (MHL) 2023.

Tambah Saiful, TNB berada pada landasan terbaik berdasarkan prestasi semasa untuk merangkul kejuaraan liga selepas kali terakhir memenanginya pada tahun 2003.

TNB musim ini diperkuatkan dengan kehadiran sembilan pemain kebangsaan.

"Kita tidak boleh terlalu melihat ke hadapan, jadi kita ada perlawanan pertama Khamis ini untuk merebut kejuaraan pertama (Piala Sumbangsih), jadi kita akan mencapainya,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pengenalan Pasukan Hoki TNB untuk musim 2023 di Kompleks Sukan TNB, Bangsar, di sini, hari ini. 


(Kapten TNB, Syed Mohamad Syafiq Syed Cholan menyerahkan jersi pasukan TNB kepada Ketua
Pegawai Global Business Solutions TNB, Ahmad Hushairi Ibrahim selepas majlis pengenalan
pasukan TNB dan TNB Thunderbolts sempena Liga Hoki Malaysia 2023/ Foto BERNAMA)

Lapan pasukan akan bersaing dalam kategori lelaki iaitu TNB, Terengganu Hockey Team, Maybank, Nurinsafi Sporting, UiTM H-A, TNB Thunderbolts dan Young Tigers serta Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang menjadi pasukan baharu musim ini.

Sementara itu, kapten pasukan TNB, Syed Mohamad Syafiq Syed Cholan yakin dengan berbekalkan semangat Piala Dunia baru-baru ini, tidak mustahil Piala Sumbangsih pada boleh menjadi milik mereka.

Musim ini TNB diperkuatkan sembilan pemain kebangsaan iaitu Faiz Helmi Jali, Aminuddin Zain, Ramadan Rosli, Firhan Ashari, Amirul Hamizan Azhar, Norsyafiq Sumantri, Shahril Saabah, Najib Abu Hasan dan Tengku Nasrol Ikmal Hakimie.

Media Baharu