KUALA LUMPUR, 7 Februari - Pemain golf negara, Ervin Chang yang beralih ke status profesional tahun lalu tidak akan mempertahankan 2 pingat emas yang dimenangi pada temasya di Vietnam pada 2021.
Jelas Ervin, ini kerana peraturan di dalam Sukan SEA hanya membenarkan penyertaan atlet bertaraf amatur sahaja.
Ervin sebelum ini mencipta sensasi apabila menamatkan kemarau 21 tahun pingat emas di Sukan SEA dengan menghadiahkan pingat emas menerusi acara individu di Kelab Golf dan Resort Heron Lake, Vinh Phuc.
Selain itu, Ervin turut merangkul pingat emas menerusi acara berpasukan.
"Sukan SEA hanya untuk amatur. Peraturan Sukan SEA tidak benarkan pemain profesional bertanding. Itu sebab utama saya tidak ambil bahagian.
"Tetapi bagi sukan Asia yang sepatutnya diadakan di China tahun lalu, mereka telah mengubah peraturan membenarkan penyertaan pemain profesional. Jika diberikan peluang, saya akan mewakili Malaysia," katanya pada majlis Pelancaran kalender Jelajah Toyota Persatuan Profesional Golf Malaysia di ibu negara.
Dalam masa sama, Ervin menasihatkan pemain-pemain amatur negara, supaya mempersiapkan diri dari segi fizikal dan mental kerana tahap tekanan di peringkat Sukan SEA juga sangat tinggi.