KUALA LUMPUR, 11 Mei - Jaguh angkat berat negara, Aniq Kasdan memecahkan rekod kebangsaan miliknya sendiri dalam acara snatch kategori bawah 61 kilogram (kg) lelaki pada Kejohanan Angkat Berat Asia di China, pada Sabtu.
Aniq yang juga juara Sukan Komanwel, bermula cemerlang apabila berjaya melakukan angkatan seberat 125kg dan 128kg sebelum mencatatkan rekod baharu 132kg pada percubaan terakhir.
Atlet berusia 22 tahun sebelum ini mencipta sensasi apabila mencatat rekod kebangsaan 130kg pada Sukan Olimpik Paris tahun lalu.
Dalam pada itu, Aniq gagal menyempurnakan ketiga-tiga angkatan seberat 163kg dalam acara clean and jerk, sekali gus menamatkan saingan tanpa catatan keseluruhan dan tidak tersenarai dalam kedudukan podium.
Pingat emas kategori itu dimenangi atlet Korea Utara, Pak Myong Jin dengan jumlah keseluruhan 306kg (snatch 136kg, clean and jerk 170kg), diikuti dua atlet tuan rumah Wang Hao (305kg) dan Wang Min (294kg) yang masing-masing meraih perak dan gangsa.
Sementara itu, seorang lagi wakil negara, Aznil Bidin turut mengalami nasib sama dalam kategori bawah 67kg apabila gagal mencatat sebarang angkatan sah dalam snatch.
Beliau hanya berjaya mengangkat 160kg dalam clean and jerk, satu kilogram kurang daripada rekod kebangsaannya.
Emas kategori itu dimenangi atlet Vietnam, Tran Minh Tri dengan jumlah 318kg (snatch 146kg, clean and jerk 172kg), manakala perak milik Zheng Zinhao dari China (317kg) dan gangsa diraih atlet Korea Selatan, Bae Moonsu (306kg).