KUALA LUMPUR, 10 Mei - Malaysia menempah tiket ke separuh akhir acara kuadran selepas menundukkan Filipina 2-1 pada saingan sepak takraw Piala Asia 2025 di sini malam tadi.
Saingan di Stadium Titiwangsa menyaksikan pasukan negara mudah menguasai set pertama 15-6 sebelum kealpaan pada penghujung aksi menyebabkan Malaysia tunduk 16-17 pada set berikutnya.
Memasuki set penentuan pasukan yang diketuai Amirul Zazwan Amir itu kembali mengusai permainan sebelum mengesahkan kemenangan mudah 15-8.
Skuad negara bakal berdepan Jepun dalam aksi terakhir kumpulan B pada Ahad.
Sementara itu, ketua jurulatih, Mohammad Zulkarnain Mohamed Arif menyifatkan perlawanan itu cukup penting kerana bakal menentukan juara kumpulan.
"Jepun dijangka memberikan cabaran lebih sengit berdasarkan prestasi mereka sebelum ini yang berjaya menewaskan pasukan Filipina dengan kutipan mata yang meyakinkan." katanya
Dalam pada itu, nasib berbeza dialami 'double' negara yang gagal mengekalkan rentak kemenangan apabila tewas 0-2 kepada Thailand dalam aksi kumpulan.
Gandingan baharu Thailand, Boonkoom Tipwong dan Sirisak Anuloon, berjaya menundukkan Noraizat Nordin dan Aidil Aiman yang beraksi agresif namun kurang konsisten.
Kekalahan ini menyukarkan laluan Malaysia yang kini perlu menewaskan Taiwan dalam aksi terakhir pada Ahad untuk menamatkan saingan kumpulan di kedudukan kedua.