fb fb fb fb fb

De Minaur mara ke pusingan ketiga Terbuka Itali, Shelton tersingkir mengejut

Pemain nombor lapan dunia, Alex de Minaur / Foto Reuters

ROME, 11 Mei - Pemain nombor lapan dunia, Alex de Minaur mara ke pusingan ketiga Kejohanan Terbuka Itali selepas menewaskan pemain pilihan tuan rumah, Luca Nardi dengan keputusan straight set 6-4, 7-5 dalam aksi yang berlangsung pada Sabtu.

Dalam perlawanan yang disaksikan sorakan padu penonton di Rome, pemain wildcard Nardi mempamerkan semangat juang tinggi apabila menyelamatkan 75 peratus (12 daripada 16) mata break point serta berjaya mematahkan servis pemain Australia itu dalam dua daripada tiga peluang yang dimilikinya.

Bagaimanapun, De Minaur kekal tenang dan konsisten, memenangi 88 peratus (29 daripada 33) mata servis pertamanya, sekali gus mengesahkan kemaraan ke pusingan seterusnya untuk berdepan pemain Bolivia, Hugo Dellien, yang layak menerusi laluan ‘lucky loser’.

Dalam satu lagi perlawanan, pilihan ke-12 dari Amerika Syarikat, Ben Shelton, mengalami kekalahan mengejut apabila ditundukkan pemain Sepanyol, Jaume Munar, dengan keputusan 6-2, 6-1.

Shelton bergelut dengan permainan sendiri apabila melakukan 41 kesilapan tidak dipaksa berbanding hanya lapan oleh Munar, selain kehilangan servis sebanyak lima kali sepanjang perlawanan tersebut.-REUTERS

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN