LE MANS, 11 Mei - Pelumba Ducati, Marc Marquez mencipta sejarah apabila menjadi pelumba pertama dalam saingan MotoGP yang memenangi enam perlumbaan pecut atau sprint berturut-turut selepas merangkul kemenangan di Grand Prix Perancis semalam, sekali gus merampas kembali kedudukan pendahulu kejuaraan daripada adiknya, Alex Marquez.
Rakan sepasukan Alex di Gresini Racing, Fermin Aldeguer, yang juga pelumba rookie MotoGP, meraih tempat ketiga untuk podium sprint pertamanya.
Sementara itu, pelumba tuan rumah, Fabio Quartararo, yang memulakan perlumbaan di petak utama, sekadar menamatkan saingan di tempat keempat.
Alex memulakan saingan hujung minggu ini dengan kelebihan satu mata di hadapan Marc.
Namun, selepas mencatat tempat kedua buat kali keenam berturut-turut dalam perlumbaan sprint, beliau kini ketinggalan dua mata di belakang abangnya, yang menamatkan perlumbaan dengan kelebihan lebih setengah saat.
Quartararo mencuri perhatian penyokong tempatan apabila mempamerkan aksi bertenaga pada awal perlumbaan, namun pelumba Yamaha itu gagal mengekalkan rentaknya dan terpaksa akur kepada keunggulan jentera Ducati, sekali gus menyaksikan podium dikuasai sepenuhnya pelumba Sepanyol.
Dalam saingan Moto2, Manuel Gonzalez mencatat masa kelayakan terpantas mengatasi Barry Baltus dan Diogo Moreira.
Manakala dalam kategori Moto3, Maximo Quiles akan memulakan perlumbaan hari Ahad dari petak utama selepas menamatkan sesi kelayakan di kedudukan pertama.-REUTERS