KUALA LUMPUR, 11 Mei - Pelumba muda negara, Hakim Danish Ramli meneruskan aksi konsisten di pentas antarabangsa apabila sekali lagi menaiki podium dengan meraih tempat kedua dalam Perlumbaan 1 Red Bull MotoGP Rookies Cup di Litar Le Mans, Perancis, tengah malam tadi.
Perlumbaan bagaimanapun terpaksa ditamatkan lebih awal susulan insiden kemalangan membabitkan tiga pelumba pada pusingan ke-11.
Sekali gus keputusan diambil berdasarkan kedudukan semasa ketika perlumbaan dihentikan.
Hakim, yang memulakan saingan dari petak utama, dikenakan Long Lap Penalty dan jatuh ke kedudukan kelima.
Namun, pelumba kelahiran Terengganu itu pantas bangkit dengan mempamerkan tunggangan bertenaga untuk kembali ke kelompok hadapan dan menamatkan perlumbaan di belakang pelumba Sepanyol Brian Uriarte.
"Pada awal perlumbaan, Brian (Uriarte) cuba untuk melepaskan diri dari kelompok pelumba lain, namun saya berusaha mengekalkan rentak bersamanya kerana saya masih mempunyai tiga pusingan untuk melengkapkan penalti 'long lap' pertama saya.
"Selepas menyelesaikan penalti tersebut, saya kembali fokus untuk mengejar Brian(Uriarte) memandangkan rentak saya ketika itu agak baik dan stabil," katanya.
Tempat ketiga pada perlumbaan tersebut diraih Giulio Pugliese dari Itali.
Pencapaian podium tiga kali berturut-turut mengekalkan Hakim sebagai pendahulu keseluruhan kejuaraan dengan 60 mata, mengatasi Uriarte (50 mata) dan Carter Thompson dari Australia (48 mata).