KUALA LUMPUR, 10 Mei - Lebih 250 atlet amatur serta 18 atlet profesional dari enam negara bakal berentap di Kejohanan FightNight Muaythai International (FMI) 2025, pada 24 Mei ini di Dewan Titiwangsa, Kuala Lumpur.
Penganjuran oleh Kelab Muaythai Kala Merah (KMKM) dengan kerjasama PMM dan PMKL ini menyasarkan menjadikan Malaysia kuasa besar Muaythai serta hab pelancongan sukan rantau ini.
Pengerusi KMKM, Datuk Hairudin Yunos menyifatkan FMI bukan sekadar kejohanan tempur, malah wadah memartabatkan jenama Muaythai tempatan ke peringkat antarabangsa.
"Fightnight Muaythai Malaysia ini bukannya sekadar satu sukan tempur tetapi ia lebih kepada sebuah pentas yang akan kita macam saya nyatakan tadi kita akan sebab ramai atlet profesional muaythai di Malaysia dan juga kita sasarkan ia menjadi satu produk pelancongan kepada sukan Muaythai dan kita akan mengangkat sukan tempur muaythai ini sebagai satu jenama baharu kepada sukan di negara kita Malaysia", katanya.
FMI 2025 turut menjadi platform pembangunan bakat, perpaduan nasional dan lambang semangat Malaysia Madani melalui penyertaan menyeluruh termasuk dari Sabah dan Sarawak.