fb fb fb fb fb

Pengurusan bidang sukan yang baik, mampu lakar kemajuan

(FOTO BERNAMA)

PETALING JAYA, 7 Februari - Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menekankan betapa pentingnya aspek pengurusan dan pentadbiran dalam bidang sukan bagi menjamin kemajuan serta melakar pencapaian sehingga ke peringkat tertinggi.

Beliau menyifatkan pengurusan dan pentadbiran yang gagal akan memberi impak buruk sekali gus akan menjejaskan kemajuan sesuatu sukan.

Hannah turut mengharapkan lebih ramai wakil persatuan sukan negara ini menjawat posisi di peringkat global.

Sebagai contoh Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin yang dipilih menjawat ahli majlis persekutuan bola sepak Antarabangsa (FIFA) baru-baru ini.

(Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menyampaikan ucapan pada majlis kesyukuran Presiden
Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin dipilih sebagai Ahli Majlis FIFA
bagi penggal 2023-2027 di Arena Futsal FAM/ Foto BERNAMA)

Dengan kesibukan beliau selepas ini, Hannah berharap barisan jawatankuasa FAM akan terus membantu KBS dalam memajukan sukan bola sepak di negara ini.

"Jadi dengan pemilihan ini Datuk Hamidin tidak mempunyai banyak masa di Malaysia untuk membantu FAM kerana ada tanggungjawab baharu di dunia global tetapi saya memohon AJK yang lain untuk membantu memikul tanggungjawab ini di Malaysia dan bersama KBS kita usahakan, membangunkan sukan bola sepak di tanah air ini, jadi dengan itu saya ucapkan selamat bertugas kepada Datuk Hamidin," kata beliau pada Majlis Kesyukuran sempena Hamidin dipilih sebagai Ahli Majlis FIFA di Wisma FAM, di sini hari ini.

Majlis kesyukuran itu berlangsung meriah dengan dihadiri ramai pihak berkepentingan dalam bola sepak tempatan selain barisan bekas pemain dan legenda, antaranya Datuk Dollah Salleh, Datuk Zainal Abidin Hassan dan Khalid Ali.

Media Baharu