fb fb fb fb fb

Tingkatkan prestasi dalam perlawanan akan datang - Elavarasan

Pemain PDRM FC Mohamad Imran Samso (dua, kanan) meraikan kejayaannya menjaringkan gol pada saingan Liga Super di Stadium Majlis Perbandaran Selayang. Perlawanan tamat dengan keputusan PDRM FC 3 - 1 Kelantan The Real Warriors FC. / BERNAMA

SELAYANG, 21 September - Kekalahan Kelantan The Real Warriors (TRW), 1-3 kepada PDRM FC dalam aksi Liga Super malam tadi tidak perlu terus diratapi.

Pengendalinya, E Elavarasan berkata beliau mahu menjadikan keputusan itu untuk memperbaiki kelemahan pasukan menjelang aksi bertemu Brunei DPMM FC pada 26 September ini.

"Bola sepak ada masa kalah, ada masa menang. Kita perlu tingkatkan prestasi secepat mungkin. Dari kekalahan ini kita boleh buat post-mortem kerana pasukan masih baru, ramai pemain baru dikumpulkan."

"Ia bukan alasan, tetapi pengalaman ini penting untuk pemain tampil lebih baik pada perlawanan akan datang,” katanya.

Sementara itu, jurulatih PDRM FC, Eddy Gapil menyifatkan kemenangan berharga itu hadir atas kerja keras serta kemahuan tinggi anak buahnya untuk bangkit selepas tersingkir dalam saingan piala FA.

"Syukur kepada Tuhan atas kemenangan ini. Pemain berhak kerana mereka bekerja keras. Karakter yang ditunjukkan luar biasa, penuh semangat mahu menang, dan ini jadi titik kebangkitan terbaik buat pasukan."

“Minggu lalu menentang Negeri Sembilan, pemain beri reaksi positif dan kali ini mereka buktikan kematangan serta dahagakan kemenangan,” katanya.

Selepas ini, PDRM bakal berdepan tugas sukar menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Majlis Perbandaran Selayang pada 5 Oktober depan.

MOHAMAD KHAIRIE KHALID