fb fb fb fb fb

Sukan SEA 2025: Malaysia hantar skuad terbaik ke Thailand

Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Jefri Ngadirin / BERNAMA

KUALA LUMPUR, 21 September - Malaysia akan menghantar skuad terbaik pada Sukan SEA 2025 di Thailand.

Ia sebagai sebahagian daripada persiapan awal menghadapi edisi 2027 apabila negara menjadi tuan rumah temasya itu.

Perkara itu dinyatakan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Jefri Ngadirin.

Menurut beliau, perbincangan bersama persatuan sukan kebangsaan telah dibuat lebih awal sebelum menyerahkan senarai pendek atlet kepada Majlis Olimpik Malaysia, 1 September lalu.

“Pada 2022 di Vietnam, kita tampil dengan pasukan muda apabila 52 peratus daripadanya adalah atlet kali pertama. Kemudian di Kemboja, mereka menyertai temasya kali kedua dan kini memasuki penampilan ketiga. Jadi mereka sudah ada pengalaman di peringkat serantau.

“Kita mahu mereka memberi persembahan terbaik kerana ini adalah sebahagian daripada persiapan untuk menghadapi Sukan SEA Kuala Lumpur 2027, di mana kita menjadi tuan rumah,” katanya.

Menurut Jefri, semua persatuan telah mendaftarkan atlet terbaik masing-masing, termasuk sukan berpasukan yang mempunyai jadual kejohanan dunia hampir dengan temasya dwitahunan itu.

“Tidak timbul isu jika ada yang meletakkan juara dunia atau atlet bertaraf antarabangsa kerana platform ini juga penting untuk kita menguji kekuatan sebenar menjelang 2027,” jelasnya.

Bercakap berkaitan sasaran pingat, Jefri mengakui prestasi di Kemboja sebelum ini agak kurang memberangsangkan kerana banyak acara yang dipertandingkan adalah sukan tradisional negara penganjur.

“Di Kemboja kita berdepan cabaran kerana ada acara yang kita tidak pernah sertai, malah ada yang langsung tidak dikenali. Namun kali ini, Malaysia bersama Thailand dan Singapura bersetuju untuk mempertandingkan lebih banyak acara Olimpik dan peringkat Asia.

“Ini memberi kelebihan kepada kita, contohnya melalui sukan seperti skuasy, boling padang dan boling tenpin yang pernah dipertandingkan,” katanya.

MSN optimis peluang untuk kembali mencapai sasaran pingat cerah pada temasya di Thailand, sekali gus membuka lembaran persediaan lebih mantap menuju Kuala Lumpur 2027.

MOHAMAD KHAIRIE KHALID