SERI KEMBANGAN, 21 September - Atlet karate Malaysia memiliki memiliki potensi besar untuk melakar kejayaan lebih tinggi di pentas antarabangsa.
Ini sekiranya wujud kesatuan kukuh dalam skuad kebangsaan.
Pendapat itu disuarakan legenda karate dunia, Rafael Aghayev.
Beliau berpandangan kejayaan hanya mampu dicapai jika semua pihak termasuk atlet, jurulatih, pegawai dan persekutuan bergerak ke arah yang sama tanpa dibayangi isu dalaman.
“Perkara paling penting adalah semua orang perlu bersatu. Pasukan kebangsaan harus berfungsi seperti satu keluarga. Jika semua bersatu, kurang politik dan lebih fokus pada matlamat bersama, barulah keputusan cemerlang dapat dicapai,” katanya pada majlis perasmian KLAS Seminar Karate di sini hari ini.
Aghayev, 40, berada di negara ini selama dua hari bagi mengendalikan sesi latihan bersama skuad kebangsaan.
Atlet dari Azerbaijan itu turut menekankan kepentingan pendedahan di peringkat antarabangsa dan menyarankan atlet Malaysia diberi peluang beraksi di kejohanan luar negara sekurang-kurangnya setiap tiga bulan.
Tambahnya, kombinasi kesatuan dalam pasukan, disiplin berterusan serta pendedahan di peringkat antarabangsa akan membuka laluan kejayaan lebih besar buat atlet karate negara.
Terdahulu, Rafael Aghayev digelar The GOAT of Karate selepas mendominasi gelanggang lebih dua dekad dengan lima kejuaraan dunia, 11 gelaran Eropah serta deretan kejayaan dalam siri Premier League.
Kemuncak kariernya hadir pada Sukan Olimpik Tokyo 2020 apabila meraih pingat perak untuk Azerbaijan, sekali gus dinobatkan antara figura paling disegani dalam sejarah karate moden.
