KUCHING, 21 September - Kejohanan Kriket Wanita Yayasan Sime Darby (YSD) bakal berlangsung di Borneo Cricket Ground, Kuching dari 24 hingga 30 September ini dengan penyertaan 75 peserta luar negara.
Antara negara yang mengambil bahagian ialah Nepal, Bhutan, Singapura, Rwanda, Kuwait, Oman, Thailand, Indonesia dan Malaysia. Sebanyak 14 perlawanan dijadualkan sepanjang kejohanan tersebut.
Presiden Persatuan Kriket Malaysia, Mahinda Vallipuram, berkata kejohanan ini menjadi platform penting untuk memperkasakan wanita dalam sukan kriket selain menggalakkan pertukaran budaya antara negara yang terlibat.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada YSD, Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Perbadanan Sukan Sarawak serta Tourism Malaysia atas sokongan berterusan terhadap penganjuran kejohanan itu.
Sementara itu, Naib Presiden Persatuan Kriket Sarawak, Victor Graman, optimis peserta luar negara akan berpeluang merasai keunikan bandar raya Kuching yang bukan sahaja memiliki kemudahan sukan bertaraf dunia malah mempamerkan keindahan, budaya serta keramahan masyarakat tempatan.