KUALA LUMPUR, 21 September - Aspek keselamatan pelumba akan menjadi keutamaan menjelang perlumbaan berprestij Le Tour de Langkawi (LTdL) yang dijadual bermula pada 28 September hingga 5 Oktober ini.
Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Jefri Ngadirin berkata penganjur bekerjasama rapat dengan pihak polis serta agensi berkaitan, bagi memastikan kelancaran sepanjang perlumbaan.
“Kami telah mengadakan beberapa siri mesyuarat dengan pihak berkaitan. Wakil polis juga hadir untuk memberi pandangan mereka. Dengan pengalaman yang telah kita peroleh sejak tiga tahun lalu, saya yakin isu keselamatan tidak akan timbul.
“Polis juga telah bersetuju untuk menambah kekuatan anggota bagi memastikan perlumbaan dikawal dengan baik,” katanya pada majlis pengumuman BubblesO2 sebagai penaja jersi Raja Bukit.
Terdahulu, kebimbangan mengenai isu keselamatan kembali timbul selepas seorang peserta, Low Beng Seng, 28, maut dalam perlanggaran dengan sebuah kereta ketika menyertai Langkawi Legendary Ride pada 6 September lalu.
Insiden itu menimbulkan persoalan baharu mengenai tahap keselamatan acara berbasikal di pulau berkenaan.
Dalam pada itu Jefri menegaskan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat telah ditetapkan dan dipantau oleh pihak polis serta Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI).
Beliau yakin pengalaman pada kejohanan sebelum ini dapat membantu untuk mengendalikan perlumbaan dengan baik dan teratur kali ini.
Jelasnya, persiapan LTdL tahun ini lebih mudah kerana peloton hanya perlu menyeberangi laut sekali sahaja ke Langkawi, berbanding beberapa kali pada edisi 2024 yang turut melibatkan laluan di Sarawak.
“Kali ini tidak banyak masalah akan timbul, dan kami percaya acara ini akan berjalan lancar,” katanya sambil memaklumkan LTdL tahun ini turut melibatkan perbelanjaan besar bagi memastikan penganjuran bertaraf dunia.
Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi (COO) LTdL, Emir Abdul Jalal berkata edisi 2025 menelan kos kira-kira RM19.5 juta dengan RM7.5 juta ditampung melalui tajaan, termasuk RM1 juta dalam bentuk tunai dan barangan daripada BubblesO2.
LTdL 2025 membabitkan lapan peringkat perlumbaan dengan jarak keseluruhan sejauh 1,244.2 kilometer.