ISKANDAR PUTERI, 21 September - Johor Darul Ta’zim (JDT) terus garang di pentas Liga Super selepas berpesta gol dengan membenam Sabah FC 8-0 dalam aksi di Stadium Sultan Ibrahim, malam ini.
Skuad Harimau Selatan kendalian Xisco Munoz itu tampil bertenaga sejak wisel pertama dibunyikan dengan corak serangan pantas sepanjang babak awal permainan.
Jaringan pembukaan hadir seawal minit keenam menerusi sepakan penyerang import Oscar Aribas selepas menerima hantaran kemas daripada Joao Figueiredo.
Tidak lama kemudian, JDT menggandakan kedudukan pada minit ke-11 apabila hantaran Aribas disempurnakan Figueiredo untuk menewaskan penjaga gol Khairul Fahmi Che Mat.
Gawang pelawat terus dibolosi apabila Figueiredo sekali lagi menambah gol tuan rumah pada minit ke-23 setelah menerima umpanan kemas Arif Aiman Mohd Hanapi.
Berselang 21 minit, Raul Parra menambah kegembiraan penyokong tuan rumah apabila meledak gol keempat menerusi sepakan penjuru pada minit ke-44, sebelum pesta jaringan terus rancak apabila Figueiredo menyempurnakan hatriknya dengan gol kelima pada masa tambahan di babak pertama.
Bersambung ke babak kedua, JDT tidak mengundurkan kemaraan sebaliknya terus menjarakkan kedudukan apabila Bergson Da Silva menambah gol keenam pada minit ke-61 menerusi sepakan penalti selepas pemain itu dijatuhkan pemain Sabah R.Dinesh.
Meneruskan kecemerlangan penjaring terbanyak liga, Bergson menanduk bola tepat ke gawang lawan pada minit ke-74 hasil sepakan sudut oleh Arif Aiman.
Bergson terus cemerlang apabila menyempurnakan hatrik pada minit ke 92 dengan bantuan Arif Aiman yang bergerak solo sekali gus melengkapkan gol kelapan untuk membolehkan JDT menang bergaya.
Kemenangan itu mengukuhkan lagi kedudukan JDT di puncak Liga Super, manakala Sabah kekal bergelut di pertengahan liga tanpa mencatat sebarang kemenangan dalam empat perlawanan setakat ini. - BERNAMA