fb fb fb fb fb

EPL: Aston Villa masih buntu, Newcastle dan Bournemouth sekadar seri

Pemain Aston Villa, Matty Cash, bersaing dengan pertahanan Sunderland, Omar Alderete, dalam aksi Liga Perdana Inggeris di Stadium of Light, Sunderland. Foto- AFP

LONDON, 22 September - Aksi Aston Villa terus hambar musim ini apabila hanya mencatat keputusan seri 1-1 menentang Sunderland walaupun memiliki kelebihan satu gol dan seorang pemain, manakala pertemuan Newcastle dan Bournemouth berakhir tanpa jaringan pada Ahad.

Kebangkitan Villa di bawah bimbingan Unai Emery seakan terhenti selepas pasukan itu kekal dalam kelompok tiga terbawah dengan hanya mengutip tiga mata daripada lima perlawanan awal.

Emery berkata, peluang untuk menamatkan kemarau kemenangan sepatutnya tidak disia-siakan memandangkan Sunderland beraksi dengan 10 pemain selepas pertahanan Reinildo Mandava dilayangkan kad merah pada minit ke-33 kerana menyepak Matty Cash.

“Kami mempunyai peluang terbaik untuk meraih kemenangan pertama, namun gagal memanfaatkannya,” katanya selepas perlawanan di Stadium of Light.

Villa yang gagal menjaringkan gol dalam empat aksi liga sebelum ini akhirnya menemui sentuhan penyudah apabila rembatan jauh Cash pada separuh masa pertama berjaya memperdayakan penjaga gol Sunderland, Robin Roefs.

Bagaimanapun, kelebihan itu hanya bertahan lapan minit sebelum Wilson Isidor menyamakan kedudukan menerusi gol ketiganya musim ini selepas menerima hantaran tandukan Granit Xhaka.

Pemain antarabangsa England, Ollie Watkins, turut mensia-siakan dua peluang pada penghujung permainan sekali gus kekal tanpa sebarang jaringan musim ini.

Sementara itu, Newcastle juga terus bergelut di depan gawang selepas ketiadaan penyerang utama Alexander Isak.

Skuad bimbingan Eddie Howe mencatat keputusan seri tanpa jaringan buat kali ketiga di tempat lawan musim ini, tetapi tetap berpuas hati dengan kutipan satu mata selepas jadual padat berikutan kekalahan 1-2 kepada Barcelona dalam saingan Liga Juara, Khamis lalu.

Howe membuat tujuh pertukaran untuk menyegarkan pasukan, termasuk menurunkan semula rekod pembelian kelab, Nick Woltemade, di bahagian serangan.

Dalam aksi hambar itu, Bournemouth hampir mencuri kemenangan pada masa kecederaan namun sepakan percuma Justin Kluivert berjaya ditepis Nick Pope.

Keputusan seri sudah cukup untuk membawa Bournemouth naik ke tangga ketiga buat sementara waktu.- AFP

NUR SHARIDA SHAHABUDDIN