LONDON, 22 September - Gabriel Martinelli muncul penyelamat Arsenal selepas jaringan penyamaan pada masa kecederaan memastikan keputusan seri 1-1 menentang Manchester City di Stadium Emirates.
Manchester City mendahului seawal minit kesembilan menerusi Erling Haaland yang menyempurnakan gerakan pantas hasil hantaran Tijjani Reijnders.
Gol itu merupakan jaringan kelima Haaland dalam tujuh perlawanan liga menentang Arsenal, sekali gus melengkapkan 12 gol dalam lapan penampilan bersama kelab dan negaranya musim ini.
Namun, kelebihan City tidak kekal sehingga tamat permainan apabila pengurus Pep Guardiola melakukan beberapa pertukaran taktikal yang dilihat terlalu berhati-hati.
Langkah menukar formasi dengan meletakkan lima pertahanan serta mengeluarkan Haaland pada 15 minit terakhir akhirnya memakan diri apabila kubu mereka dibolosi.
Sebaliknya, keputusan taktikal pengurus Arsenal, Mikel Arteta, membawa kesan positif selepas memasukkan Bukayo Saka dan Eberechi Eze pada babak kedua.
Malah, hantaran Eze pada masa kecederaan membolehkan Martinelli melepasi kawalan Nathan Ake sebelum menewaskan penjaga gol Gianluigi Donnarumma dengan penyudah tenang.
Guardiola mengakui pasukannya terpaksa bermain lebih defensif berikutan masalah kecederaan dan kepenatan selepas jadual padat.
“Kami tidak mahu bermain sebegini, tetapi apabila lawan lebih baik, kami perlu bertahan lebih dalam dan bergantung pada serangan balas. Saya fikir keputusan seri ini adil kerana pemain kami juga keletihan,” katanya.
City kini menghuni tangga kesembilan liga dengan hanya dua kemenangan daripada lima perlawanan, sekali gus ketinggalan lapan mata di belakang pendahulu Liverpool yang memenangi kesemua lima aksi pertama musim ini.
Arteta pula meluahkan rasa bangga terhadap aksi anak buahnya. “Saya sangat berbangga dengan pemain kerana kami menguasai hampir semua aspek perlawanan. Walaupun kecewa tidak menang, saya rasa kami bermain jauh lebih baik berbanding musim lalu ketika menewaskan mereka,” katanya.
Keputusan seri itu meletakkan Arsenal di tangga kedua liga dengan lima mata di belakang Liverpool, manakala City terus tercari-cari rentak selepas gagal meraih kemenangan dalam lima pertemuan terakhir menentang Arsenal.- AFP