fb fb fb fb fb

Tiket Piala Dunia 2026 mula dijual 10 September

FOTO FAIL REUTERS

KUALA LUMPUR, 9 September - Tiket bagi menyaksikan Piala Dunia FIFA 2026 akan mula dijual esok, 10 September 2025 kurang setahun sebelum kejohanan berprestij itu membuka tirai di Mexico City.

Menurut FIFA, tiket akan dilepaskan secara berperingkat dengan pembukaan fasa pertama permohonan cabutan pada tarikh berkenaan.

Bagi fasa awal, mekanisme dynamic pricing akan digunakan, iaitu harga tiket ditentukan mengikut permintaan pasaran. Kaedah ini lazim digunakan dalam harga tiket penerbangan dan kadar bilik hotel ketika musim cuti.

Tiket untuk perlawanan peringkat kumpulan ditetapkan bermula AS$60, manakala harga bagi aksi kemuncak termasuk perlawanan akhir boleh mencecah sehingga AS$6,730. Permohonan pada peringkat ini dibuka kepada pemegang kad Visa yang layak.

Piala Dunia 2026 akan berlangsung dari 11 Jun hingga 19 Julai dengan aksi final dijadualkan di New Jersey, Amerika Syarikat.

Sebanyak 6.5 juta penonton dijangka hadir menyaksikan kejohanan terbesar dalam sejarah penganjuran, melibatkan 48 pasukan dan 104 perlawanan merentasi tiga negara iaitu Mexico, Kanada dan Amerika Syarikat.

Majlis undian rasmi kejohanan pula akan diadakan pada 5 Disember di Kennedy Center.-REUTERS

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE