BUDAPEST, 9 September - Portugal bakal berdepan Hungary dalam aksi Kelayakan Piala Dunia 2026 pada Selasa dengan tumpuan terarah kepada kapten Cristiano Ronaldo yang berhasrat melakar rekod beraksi dalam enam edisi Piala Dunia.
Ketika ini, lapan pemain berkongsi rekod lima penyertaan, namun Ronaldo hanya salah seorang daripada tiga pemain aktif bersama Lionel Messi dan penjaga gol Mexico, Guillermo Ochoa, yang masih berpeluang menambah satu lagi penyertaan.
Skuad kendalian Roberto Martinez memulakan kempen kelayakan dengan langkah bergaya selepas menewaskan Armenia 5-0 di Yerevan, Sabtu lalu.
Ronaldo, 40, menjaringkan dua gol dalam perlawanan itu sekali gus menghampirinya kepada pencapaian 1,000 gol sepanjang karier, kini berbaki 58 jaringan.
Sementara itu, Hungary masih mencari tiket kembali ke pentas Piala Dunia selepas kali terakhir muncul pada 1954 ketika skuad "Golden Team" kendalian Ferenc Puskas tewas kepada Jerman Barat di final.
Bagaimanapun, generasi terkini diketuai pemain tengah Liverpool, Dominik Szoboszlai, menunjukkan peningkatan apabila mara ke tiga edisi berturut-turut Kejohanan Eropah.
Dalam aksi pembukaan Kumpulan F di Dublin menentang Ireland, Hungary mencatat keputusan seri 2-2 selepas mendahului dengan dua jaringan sebelum terpaksa beraksi dengan 10 pemain.-REUTERS
