STOCKHOLM, 9 September – Penyerang Sweden, Alexander Isak, akhirnya bersuara mengenai perpindahan kontroversinya dari Newcastle United ke Liverpool yang memecah rekod Liga Perdana Inggeris.
Isak, 25, tampil buat pertama kali musim ini mewakili Sweden pada aksi kelayakan Piala Dunia menentang Kosovo selepas tidak beraksi dalam tiga perlawanan awal bersama Newcastle sebelum berhijrah pada 1 September lalu.
Bekas penyerang Magpies itu sebelum ini secara terbuka menyatakan hasrat meninggalkan kelab menerusi media sosial, dengan mendakwa pengurusan telah melanggar janji.
Tindakannya menyebabkan beliau menjadi sasaran kemarahan penyokong kelab berkenaan, meskipun pernah menjadi wira apabila menjaringkan gol kemenangan pada perlawanan akhir Piala Liga menentang Liverpool pada Mac lalu.
Kemenangan itu merupakan trofi domestik pertama Newcastle selepas 70 tahun.
“Tidak semua orang tahu keseluruhan cerita, tetapi itu untuk hari lain,” katanya kepada media Sweden.
“Itu sebahagian daripada bola sepak. Saya tidak boleh kawal apa yang diperkatakan, tetapi saya gembira akhirnya menjadi pemain Liverpool. Itu yang saya mahukan, dan saya bangga dengan keputusan ini". katanya.
Isak dijangka menyertai sesi latihan pertama bersama Liverpool minggu ini, menjelang perlawanan menentang Burnley pada Ahad.
Liverpool memulakan musim dengan cemerlang apabila menjadi satu-satunya pasukan yang memenangi ketiga-tiga perlawanan liga. - AFP
