LONDON, 9 September – Bekas pengurus Tottenham Hotspur, Ange Postecoglou dijangka dilantik sebagai pengendali baharu Nottingham Forest selepas kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) itu menamatkan khidmat Nuno Espirito Santo, Isnin lepas.
Postecoglou, 60, yang dipecat Tottenham penghujung musim lalu dilihat hadir di pusat latihan Forest pada Selasa.
Meskipun Spurs menamatkan musim di tangga ke-17 EPL, beliau sempat menghadiahkan kelab itu trofi Liga Europa sekali gus menamatkan kemarau kejuaraan kelab berkenaan.
Forest kini berada di tangga ke-10 EPL selepas tiga perlawanan awal musim, namun pengurusan kelab pantas mencari pengganti bagi memastikan kestabilan pasukan.
Difahamkan Postecoglou akan diumumkan sebelum aksi menentang Arsenal hujung minggu ini.
Nuno, 51, meninggalkan kelab Nottingham Forest selepas 21 bulan mengemudi kelab berkenaan.
Beliau mengambil alih pasukan pada Disember 2023 selepas pemecatan Steve Cooper dan berjaya mengekalkan kelab itu dalam saingan EPL.
Musim lalu, Nuno membawa Forest menamatkan kempen di tempat ketujuh dan merupakan pencapaian terbaik sejak tahun 1994 – sekali gus melayakkan mereka ke pentas Eropah buat kali pertama dalam tempoh tiga dekad.
Sekiranya perlantikan disahkan, Postecoglou akan menjadi pengurus kelapan dilantik sejak jutawan dan usahawan Greece, Evangelos Marinakis mengambil alih kelab pada Mei 2017. - REUTERS
