KUCHING, 9 September - Seramai 35 pemain remaja elit dari seluruh Malaysia menyertai NJDP-SGA Junior Camp 2025 yang berlangsung di Damai Golf & Country Club di sini, bermula 7 hingga 10 September.
Kem selama empat hari anjuran Program Pembangunan Golf Junior Kebangsaan (NJDP) dengan kerjasama Sarawak Golf Association (SGA), bertujuan mengenal pasti, membimbing serta membangunkan bakat baharu dalam sukan golf negara, khususnya di Sarawak.
Majlis perasmian disempurnakan oleh Datin Patinggi Puan Seri Datuk Wira Lorna Enan Muloon Chan yang juga penaung NJDP-SGA Junior Camp 2025.
Pengerusi NJDP, Fauzi Mesran, berkata penganjuran kem tersebut merupakan sebahagian daripada usaha berterusan Persatuan Golf Malaysia (MGA) untuk melahirkan pemain remaja berpotensi.
“NJDP-SGA Junior Camp 2025 bukan sahaja memberi pendedahan latihan teknikal dan mental kepada pemain, tetapi juga membuka peluang kepada bakat-bakat Sarawak untuk diketengahkan ke peringkat kebangsaan dan antarabangsa,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis perasmian.
Kem berkenaan turut menampilkan tenaga pengajar berpengalaman, antaranya Michele Koh Lay Sia, bekas wakil Malaysia ke Sukan Olimpik Rio 2016, serta Koe Lai Yin, jurulatih bertauliah dalam Mental Game Coaching.
Selain latihan intensif, kem itu juga menekankan aspek pengurusan minda, strategi permainan, disiplin serta semangat kesukanan bagi melahirkan pemain golf remaja yang berdaya saing.
Fauzi berharap kem berkenaan menjadi platform penting untuk memastikan kesinambungan bakat muda, sekali gus memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai pencabar utama golf di pentas antarabangsa.
